Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail
KUALA TERENGGANU 20 Ogos - Dahulunya dikenali dengan nama Kem Pengakap Telaga Batin, tidak jauh bezanya dengan kem-kem seumpamanya di negeri-negeri lain yang diwujudkan bagi menjalankan
pelbagai kegiatan pasukan beruniform itu.
Namun, setelah dinaik taraf dengan peruntukan kira-kira RM10 juta yang disalurkan oleh kerajaan negeri, kem yang berusia lebih tiga dekad itu dinamakan sebagai Kem Pengakap Tengku
Muhammad Ismail pada tahun 2011.
Terletak di kawasan seluas 13.6 hektar dalam rimbunan pokok gelam, di pinggir pantai peranginan Tok Jembal, kem ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan bagi penganjuran program
bertaraf antarabangsa dan menarik penglibatan pengakap dari serata pelosok dunia.
Malah, kem itu kini merupakan salah sebuah kem pengakap yang dianggap terbaik di rantau ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Ketua Pengakap Negara, Datuk Seri Dr. Shafie Mohd. Salleh
dalam penutupan Jambori Pengakap Antarabangsa Terengganu 2014 yang berlangsung di sini Jun lalu.
Bersimbolkan replika hormat tiga jari, kem tersebut juga terbuka untuk disewakan kepada pelbagai pihak termasuk sektor swasta dan badan dari luar negeri menjalankan kegiatan, sekali
gus membantu Majlis Pengakap negeri berdikari dalam menjalankan pelbagai gerak kerja.
Berbanding kem lain di negara ini, Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail ternyata gah dengan pelbagai kemudahan termasuk penginapan Scout Inn Resort yang menawarkan 60 bilik biasa
dan 24 bilik deluxe kepada umum.
Penginapan ini juga menyediakan asrama berhawa dingin yang mampu memuatkan 200 peserta dalam satu-satu masa, dewan terbuka bagi 2,000 orang, bilik seminar, dewan makan, padang kawad,
tapak perkhemahan yang boleh menampung sehingga 8,000 peserta, di samping kemudahan abseiling dan flying fox.
Dengan kemudahan bertaraf dunia yang ditawarkan, kem itu terpilih sebanyak dua kali sebagai lokasi penganjuran program iaitu Jambori Malaysia Ke-12 dan Jambori Pengakap Antarabangsa
Terengganu 2011 serta Jambori Pengakap Antarabangsa Terengganu baru-baru ini.
Keistimewaan yang ditawarkan Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail itu dilihat bertepatan dengan pemindahan Ibu Pejabat Pertubuhan Pergerakan Pengakap Sedunia (WOSM) dari Geneva ke
Kuala Lumpur.
Pengerusi Majlis Pengakap negeri, Datuk Abdullah Taib berkata, cetusan idea untuk menaik taraf kem itu timbul hasil pemerhatian pihaknya terhadap kem di luar negara terutama di Indonesia,
Hong Kong dan Filipina.
Blok Scout Inn Resort yang berhawa dingin dan terbuka untuk disewa kepada umum.
"Asas yang diperlukan bagi sesebuah kem adalah kawasan perkhemahan, tandas, dewan berkumpul dan padang kawad, bagaimanapun seiring perubahan zaman, kita melihat sesebuah kem
itu perlu bersifat lebih moden dan selesa untuk kemudahan peserta.
"Hasrat kita adalah untuk menjadikan Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail setanding kem di luar negara dan akhirnya mampu muncul sebagai lokasi pilihan ramai bagi kegiatan sukan
serta rekreasi dan tidak semata-mata untuk tujuan kokurikulum pasukan beruniform," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurut Abdullah, perpindahan WOSM akan membuka era baharu buat Terengganu kerana secara tidak langsung membolehkan Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail itu menjadi pilihan sebagai
pusat latihan mahupun kursus.
Katanya, setakat ini, Terengganu merupakan kem perkhemahan pengakap yang terbaik di Malaysia, bahkan pengalaman mengelolakan dua acara terbesar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa
memberi kelebihan buat kem tersebut untuk terus terlibat dalam penganjuran majlis gilang-gemilang.
"Terbaharu, Brunei menyatakan minat untuk menjadikan kem ini sebagai model rujukan bagi pembinaan kem pengakap pertama di negara itu kelak, malah, kita juga telah memeterai
perjanjian persefahaman (MoU) dengan mereka dalam usaha memperkasa aktiviti serta kegiatan berkaitan pengakap antara kedua-dua pihak," katanya.
Mengulas tentang rancangan masa hadapan, menurut Abdullah, pihaknya bercadang untuk terus menaik taraf kawasan perkhemahan seluas 6.87 hektar itu dengan menambah kemudahan agar menjadi
pusat kegiatan sehenti.
Sementara itu, Ketua Penolong Pesuruhjaya Pengakap Negeri (Pentadbiran), Mohamad Sulaiman berkata, sejak 2011, Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail semakin mendapat tempat dalam kalangan
pelajar sekolah, kakitangan awam dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara bagi penganjuran aktiviti motivasi dan rekreasi.
Katanya, kem yang tidak pernah kosong dan sentiasa menerima kehadiran pengunjung serta peserta itu mampu menjana perolehan tahunan lebih RM600,000 yang akan digunakan semula bagi
tujuan penyelenggaraan dan pembiayaan gaji pekerja.
"Dengan adanya kemudahan bertaraf dunia, kami berharap dan mengalu-alukan pengakap serta pihak-pihak luar di seluruh dunia untuk mengadakan perkhemahan mereka di sini, sekali
gus mempromosikan negara dan negeri Terengganu di mata dunia.
"Kebelakangan ini juga, kita dapati Scout Inn Resort menjadi lokasi transit bagi pelancong sebelum ke destinasi pilihan masing-masing di kawasan pulau. Rata-rata mereka mengakui
tertarik untuk menginap di sini sebaik sahaja terlihat lambang pengakap dunia," katanya.
Menurut Mohamad, ketika ini terdapat 30,120 ahli pengakap yang berdaftar di negeri ini dengan 3,468 pemimpin pengakap dan 590 kumpulan aktif.
Untuk maklumat lanjut berkaitan Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, hubungi talian 09-6623100 atau layari laman web wwww.scoutinnresort.com.
sumber : UTUSAN MALAYSIA
Comments
Post a Comment